Tuesday, May 5, 2009

REVOLUSI VERSAILLES 1


Tudung Turki tenunan sutera yang kau hadiahi padaku kala pemergianmu melanjutkan pelajaran ke bumi Jordan kini menutupi rambut perangku, Uzair. Sudah kutinggalkan jeans dan blaus sendat yang pernah menjadi pakaian harianku suatu ketika dahulu. Jilbab dan hijab kini melabuhi tubuhku. Kiranya kau masih ingat, aku pernah berkata bahawa pakaian yang sedang kupakai hari ini hanyalah pakaian tradisi masyarakat Arab. Jumud dan kolot! Lalu aku tidak pernah mengakui hijab merupakan suruhan Allah dan kewajipan mutlak atas kaum wanita. Ah! Aku terlalu ego ketika itu. Lantas aku terpempan hina dek kejahilan sendiri.
Aku mengutusi marsum maya ini dari Paris, tanah kelahiran babaku. Ya! Aku kini tidak lagi berjejak di bumi Malaysia yang pernah menemukan kau dan aku. Aku pulang ke sini bersama baba dan mamaku sekitar Disember lepas. Ya! Ketika itu Perancis digegarkan dengan pernyataan Presiden Perancis, Jacques Chirac pada 17 Disember untuk menyokong pengharaman tudung ke atas pelajar-pelajar seluruh institusi pendidikan di Perancis. Maaf! Terlalu lama tidak mengutusi khabar buatmu hatta aku sudah hampir 5 purnama di sini. Hubungan kita kian renggang sejak kau ke Jordan. Aku tidak tahu mengapa. Mungkin kau terlalu makan hati dengan sikap egoku dulu atau seboleh-bolehnya kau mahu melupakan gadis ini terus. Ah! Maafkan aku, Uzair.
Kau tentu kehairanan bagaimana mamaku bisa bersetuju untuk berhijrah ke sini. Datuk dan nenekku meninggal dalam kecelakaan jalan raya Aidilfitri lepas. Lalu mamaku yang merupakan anak tunggal terpaksa akur dengan keputusan baba untuk pulang ke Paris. Kau tahu, Uzair. Aku menangis semahu-mahunya saat kali terakhir aku mendatangi Pantai Cahaya Bulan sebelum aku berangkat meninggalkan Malaysia. Ya! Butiran pasir dan desiran ombak di pantai indah nian itu saksi pertemuan kau dan aku. Kala itu kau sedang asyik merakam keindahan alam ciptaan Tuhan melalui lensa kameramu hinggalah tiba-tiba kehangatan terik mentari menyerap segala tenagaku dan aku jatuh pengsan hampir denganmu. Lalu pertemuan tidak terduga itu membuahkan bibit-bibit manis dalam kamus hidupku dan kita semakin akrab selepas itu.
Aku jadi kaget saat kau mula bersuara tentang hijab, jilbab dan aurat. Kau memintaku meninggalkan jeans, blaus sendat dan skirt pendek yang sememangnya sudah menjadi pakaian harianku sedari kecil. Tidak cukup dengan itu, kau hadiahiku sehelai tudung Turki tenunan sutera dan sehelai jilbab merah hati kala ulangtahun kelahiranku yang ke-26. Ya! Tudung Turki itu yang sedang menutupi rambut perangku hari ini, Uzair.
“Kau tiada hak untuk mengubah cara hidup dan pendirianku! Hatta baba dan mama jua tidak pernah menegurku, inikan pula kau yang begitu asing!” Kata-kata itu pernah meluncur laju dari bibirku dan air matamu begitu murah mengalir untukku hari itu. Ah! Maafkan aku Uzair. Maafkanku kerna suatu masa dulu aku begitu jahil. Terlalu!.



Di tengah-tengah bahang kehangatan pengharaman tudung oleh kerajaan Perancis ke atas pelajar-pelajar di seluruh institusi pendidikan di Perancis, aku kini sibuk menulis liputan tentang isu ini di majalah Le Monde terbitan syarikat babaku. Usah kau kehairanan. Aku kini giat menyertai perarakan demostrasi jalanan bersama rakan-rakan Muslim dan Muslimahku, membantah keputusan Presiden Perancis, Jacques Chirac yang menyo
kong larangan kerajaan terhadap pemakaian tudung di institusi pendidikan seluruh Perancis. 22 Disember lepas, hampir 3000 masyarakat Islam di sini menyertai perarakan membantah pengharaman tudung ini.
Bersama marsum maya ini kuutusi gambar maya diriku dan sahabatku, Taqwa. Taqwa Djamila, seorang perawan manis dari bumi Isra’ Mikraj. Taqwa merupakan koresponden Majalah Jihad di Palestin, membuat liputan tentang isu pengharaman tudung di Perancis. Dialah yang mengubah Fatima Boicha yang agresif dan prejudis terhadap Islam hingga menjadi Fatima Boicha yang sedang berbicara denganmu lewat marsum maya ini. Aku bersyukur ketemu dirinya, Uzair. Dia merupakan anugerah terindah dalam hidupku selepas dirimu.
Aku dan Taqwa berkenalan di perkarangan Chateau De Versaille
s, Istana Versailles. Kala itu aku datang berlibur menyaksikan keindahan kota Versailles dan Taqwa mencari bahan untuk majalahnya. Sungguh! Versailles sebuah istana nan indah dan mewah. Istana ini menjadi kebanggaan Perancis dan Versailles menjadi pusat pemerintahan Perancis kala pemerintahan Louis XVI. Namun sistem monarki Perancis berakhir ketika Revolusi Perancis pada Oktober 1789 apabila Louis XVI dan isterinya Marie-Antoinette terpaksa tunduk kepada kemarahan orang awam yang melarat.
Taqwa membuka mata hatiku merenung nasib saudara-saudara seaqidah yang disembelih di bumi Quds. Dia bercerita padaku tentang penderitaan keluarganya di Ramallah. Dia berkisah tentang kekejaman Zionis dan Yahudi. Dia menyedarkan aku tentang kelemahan umat Islam. Dia membangkitkan imanku dengan semangat jihad dan perjuangannya. Lalu dia mahu aku sama-sama bersuara menentang penindasan yang berlaku terhadap umat Islam di Perancis, bumi yang sedang kuhuni ini.
Taqwa mula mengejutkan nubari Islamku yang sudah lama kantuk. Katanya, umat Islam tidak sudah-sudah dizalimi. Andai kita masih takut untuk mempertahankan aqidah dan syariat Islam, maka siapa lagi yang harus diharapkan. Aku lihat sinar juang di matanya, Uzair. Aku lihat semangat kesungguhannya mengajakku kembali menuju landasan mustaqim. Aku nampak sinar keikhlasan di matanya. Ya! Sinar yang serupa yang hadir di tubir matamu saat kau menyuarakan hasratmu supaya aku melabuhi hijab dan jilbab ke tubuh perawanku dulu. Sungguh! Aku terpesona dengan semangat kental dan tekad gadis Quds ini. Lalu hidayah Allah kian mercup gemilang setelah acap kali aku dan Taqwa ketemu.
bersambung...
(cerpen pilihan inurses,berita minggu 23 mei 2004,Ghafirah Idris;penerima hadiah utama kategori cerpen Hadiah Sastera Utusan - Exxon Mobil 2003)


No comments:

Post a Comment